Najib anggap kenyataan Mahfuz burukkan imej
negara
Mahfuz Sarankan Supaya Rakyat
Malaysia berjihad menentang Amerika Syarikat dan beliau sendiri bercadang untuk
mengetuai jihad tersebut .
Najib
mengatakan tindakan PAS itu keterlaluan hingga boleh merbahayakan negara dan
Kerajaan tidak akan menghalang atau menyokong hasrat PAS itu . Pas tidak
memikirkan implikasi keatas rakyat malaysia yang berbilang kaum .
LANGKAWI, Jumaat – Menteri Pertahanan, Datuk
Seri Najib Tun Razak, menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar,
supaya kerajaan memberi bantuan ketenteraan kepada Afghanistan bagi menentang
serangan Amerika Syarikat (AS) sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
Beliau berkata, saranan Mahfuz supaya Malaysia memutuskan hubungan
diplomatik dan perdagangan dengan AS juga berniat jahat dan cuba
melaga-lagakan Malaysia dengan AS.
Katanya, kenyataan itu adalah keterlaluan dan memberikan kesan buruk terhadap
imej Malaysia pada peringkat antarabangsa.
“Kenyataan seumpama itu boleh menyebabkan tanggapan pada peringkat
antarabangsa bahawa Malaysia berpotensi menyokong pengganas,” katanya ketika
ditemui pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2001 (Lima `01),
hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin pembangkang berhenti daripada membuat
kenyataan dan pandangan tidak bertanggungjawab.
Najib diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar semalam, yang
meminta kerajaan menyediakan bantuan ketenteraan kepada Afghanistan bagi
menangkis serangan AS.
Dalam kenyataannya kepada portal berita Malaysiakini, Mahfuz dilaporkan
sebagai berkata, kerajaan juga perlu meminta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)
menentang AS.
Beliau meminta kerajaan memutuskan sementara hubungan diplomatik dan ekonomi
dengan AS yang juga rakan dagangan dan pelaburan utama Malaysia.
Mahfuz juga mencadangkan kerajaan melancarkan kempen ‘Buy American Last’.
Mengulas kenyataan itu, Najib berkata: “Tidak... kita tidak boleh dibabitkan
dengan sebarang konflik pada masa ini. Kenyataan umpama itu boleh memusnahkan
ekonomi kita. Adalah sangat tidak bertanggungjawab baginya berkata begitu.”
Beliau juga berkata, pembangkang perlu berhenti daripada mengambil kesempatan
daripada serangan terhadap Afghanistan untuk kepentingan politik.
“Mahfuz cuba mendapatkan kepentingan politik daripada penduduk Islam negara.
Bagaimanapun, dengan berbuat demikian beliau juga cuba melaga-lagakan kita
dengan AS dan ini sangat tidak bertanggungjawab. Kita tidak boleh bermain
politik dalam isu ini. Ahli politik perlu memikirkan kepentingan negara
terlebih dulu sebelum membuat kenyataan,” katanya.
Beliau juga mengulangi pendirian Malaysia adalah konsisten berhubung serangan
AS terhadap Afghanistan.
“Kita memang mengekalkan pendirian menentang keganasan, tetapi tidak
menyokong serangan terhadap mana-mana negara. Kita tidak akan melayan cadangan
Mahfuz,” katanya.